Oleh: Irfan Khairi
http://www.irfankhairi.com
Pastinya anda pernah dengar kata-kata pakar motivasi untuk berfikir besar- Think big! Sekiranya pendapatan anda kini adalah RM3,000, bayangkan anda mampu memperolehi RM30,000. Sekiranya pendapatan anda adalah RM5,000, bayangkan pendapatan boleh mencecah RM50,000! Boleh kah anda bayangkan?
Untuk kebanyakan antara kita ianya adalah amat sukar! Bukannya senang untuk think big Mana taknya, bertahun-tahun kita dalam lingkungan pendapatan yang “lebih kurang sama” sahaja, masakan pula hendak berangan pendapatan kita boleh berganda 10. Hendak meyakinkan diri, satu cerita, inikan pula kalau kita kongsikan matlamat “think big” kita dengan kawan, sudah tentunya kita hanya akan kena perli mereka.
Biarkan saya berkongsikan satu rahsia dengan anda: Berfikir besar adalah titik permulaan segala yang hebat berlaku! Ianya adalah amat penting untuk berfikir besar. Mengapa pendapatan atau kejayaan seseorang itu tidak cemerlang sepertimana yang diinginkan? Pastinya kerana mereka tidak fikir besar.
Saya teringat satu rancangan TV menjemput saya sebgaai tetamu baru-baru ini untuk berbicara tentang potensi diri, dan dalam rancangan tersebut, terdapat selingan temubual diluar studio dengan orang ramai. Penemubual bertanyakan pada seorang lelaki yang berpakaian kemeja segak, bertali leher. Penemubual bertanya “Bolehkah anda menjadi Jutawan?”. Jawapan yang diberikan “Insyaallah, dengan usaha yang lebih, mungkin saya akan capai hasrat saya itu satu hari nanti”
Tak lama kemudian, orang lain pula ditemubual. Kali ini, seorang lelaki yang memakai T Shirt dan berseluar jeans (kelihatan agak selekeh). Soalan yang sama ditanya “Boleh kah anda menjadi Jutawan?”. Jawapannya pula…. “er… er… saya tak pernah terfikir pula. Mana la tahu, kalau saya menang pertandingan ke… mungkin boleh jadi jutawan… er… tapi, tak tau la…”
Lelaki pertama memberi jawapan yang berfikiran besar. Manakala lelaki kedua memberi jawapan yang agak kurang memuaskan- jadi jutawan dengan menang pertandingan??
Jawapan yang mereka berikan mencerminkan personaliti dan fikiran masing-masing. Lelaki pertama kelihatan daripada pakainannya seperti seorang yang berjaya- pastinya seorang yang berfikir besar yang telah dicerminkan daripada jawapannya.